SUBHANALLAH !!!Akaun, Harta Milik Khalifah Saidina Uthman Affan Masih Wujud Hingga Kini



بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ


.
Salah seorang sahabat nabi, Khalifah Sayyidina Uthman bin Affan (عثمان بن عفان) adalah seorang ahli perniagaan yang kaya raya, baik hati, pemurah dan seorang yang dermawan. Beliau juga berjasa dalam membukukan Al-Quran. Ternyata sehingga sekarang beliau masih memiliki akaun di salah sebuah bank di Arab Saudi. Malah akaun dan bil elektriknya juga masih atas nama beliau…
Bagaimanakah cerita Khalifah ketiga yang memerintah daripada tahun 644 (umur 69-70 tahun) hingga 656 (selama 11-12 tahun) yang sehingga kini beliau mampu memiliki hotel berhampiran Masjid Nabawi?

Diriwayatkan semasa zaman Nabi Muhammad ﷺ, kota Madinah pernah mengalami zaman kemarau sehingga sukar bagi mendapatkan air bersih. Satu-satunya sumber air yang tinggal ketika itu adalah sebuah telaga bernama ‘Bi’ru Rummah’ (telaga pemanah) yang sangat besar dan dalam serta airnya tidak pernah kering. Rasanya sama seperti air dari telaga zam-zam.
Oleh kerana orang Islam (kaum Muhajirin) sudah terbiasa minum air zam-zam di Makkah. Mereka sangat berhajat kepada air itu dan sering ke telaga yang dimiliki oleh seorang Yahudi. Maka Yahudi tersebut telah bertindak menjual air dengan harga yang sangat mahal. Kaum Muslimin dan penduduk Madinah dengan tiada pilihan lain, terpaksa membeli air bersih dari orang Yahudi itu.
Prihatin atas keadaan umatnya, Rasulullah ﷺ kemudian bersabda : “Wahai Sahabatku! Sesiapa sahaja di antara kamu yang menyumbangkan hartanya untuk dapat membebaskan telaga itu, lalu mendermakannya untuk umat, maka akan mendapat Syurga Allah سبحانه وتعالى.” (HR. Muslim).
 .
Akhirnya perkara itu sampai ke pengetahuan Sayyidina Uthman Bin Affan RA yang kemudian mula bertindak ingin membebaskan telaga ‘Rummah’ itu. Sayyidina Uthman RA segera bertemu dengan orang Yahudi pemilik telaga dan menawar untuk membeli ‘Bi’ru Rummah’ dengan harga yang tinggi.
Namun begitu, walau sudah ditawarkan dengan harga yang tertinggi sekalipun, orang Yahudi pemilik telaga tetap menolak dan tidak mahu menjualnya kerana dia telah meraih keuntungan besar, “Seandainya telaga ini saya jual kepadamu wahai Uthman, maka aku tidak mempunyai pendapatan yang boleh aku perolehi setiap hari.” Yahudi tersebut menjelaskan alasan penolakannya.
Sayyidina Uthman bin Affan RA yang amat teringin mendapatkan balasan pahala berupa Syurga Allah سبحانه وتعالى, tidak kehilangan cara mengatasi penolakan Yahudi ini. Beliau lantas minta untuk membeli separuh sahaja daripada telaga itu.
“Bagaimana kalau aku beli setengahnya saja dari telagamu.” Sayyidina Uthman RA, melancarkan kemahiran rundingannya.
“Maksud kamu?” tanya orang Yahudi kehairanan.
Sayyidina Uthman bin Affan RA menawarkan 12,000 dirham supaya orang Yahudi tersebut bersetuju menjual setengah saja daripada telaga ‘Rummah’.
“Begini, jika engkau setuju, maka kita akan memiliki telaga ini bergilir-gilir. Satu hari telaga ini milikku, esoknya kembali menjadi milikmu kemudian lusa menjadi milikku lagi demikianlah seterusnya berganti berselang hari. Bagaimana?” jelas Sayyidina Uthman RA.
Orang Yahudi itupun segera berfikir.… Yahudi sangka dia cerdik kerana Sayyidina Uthman RA memang peniaga yang termasyhur dan dikenali oleh orang Arab, tentulah perniagaannya akan lebih berkembang dan harga air boleh dinaikkan. “Aku mendapatkan wang besar daripada Uthman tanpa kehilangan telaga milikku.”
Akhirnya orang Yahudi tersebut pun bersetuju menerima tawaran Sayyidina Uthman RA tadi dan disepakati juga bahawa pada hari tersebut telaga ‘Rummah’ adalah milik Sayyidina Uthman bin Affan RA.
.
 telaga ruumah (uthman)
Sayyidina Uthman RA pun segera mengumumkan kepada penduduk Madinah yang mahu mengambil air di telaga ‘Rummah’, dipersilakan mengambil air untuk keperluan mereka secara percuma kerana hari ini ‘Bi’ru Rummah’ adalah miliknya. Beliau juga mengingatkan agar penduduk Madinah mengambil air dalam jumlah yang cukup untuk 2 hari, kerana hari esoknya telaga itu bukan lagi milik Sayyidina Uthman RA.
Keesokan hari Yahudi mendapati telaga miliknya lengang, sebab penduduk Madinah masih mempunyai simpanan air di rumah. Rupa-rupanya Allah سبحانه وتعالى takdirkan sebaliknya apabila orang tidak lagi membeli air daripada Yahudi itu kerana pada hari milik Sayyidina Uthman RA, beliau memberi air percuma kepada orang ramai termasuk kepada kaum bukan Islam… maka tiba pada hari giliran Yahudi, tiada sesiapa pun yang mahu membelinya.
Orang Yahudi itu pun berasa kerugian besar lalu dia pergi bertemu dengan Sayyidina Uthman RA dan berkata, “Wahai Uthman! Belilah setengah lagi telagaku ini dengan harga 8,000 dirham.”
Sayyidina Uthman RA pun bersetuju, lalu dibelinya dengan harga tersebut, maka dengan nilai 20,000 dirham (12,000 dirham + 8,000 dirham), ‘Bi’ru Rummah’ pun secara mutlak menjadi milik Sayyidina Uthman RA.
Kemudian datang seorang sahabat lain yang juga hartawan minta untuk membeli telaga ‘Rummah’ itu daripada Sayyidina Uthman bin Affan RA. Beliau pun bertanya hartawan tersebut, “Berapakah harga yang kamu sanggup bayar?”
Hartawan menjawab bahawa dia sanggup membayar 3 (tiga) kali ganda daripada harga yang dibeli oleh Sayyidina Uthman bin Affan RA. Tetapi Sayyidina Uthman RA tidak setuju dan bertanya lagi, “Berapa harga yang kamu sanggup?”
Hartawan menjawab, “Sembilan (9) kali ganda harga yang Tuan beli.”
Sayyidina Uthman RA masih tidak setuju. Hartawan bertanya kehairanan.. “Siapa lagikah yang sanggup membeli dengan harga yang lebih mahal daripada aku?”
Maka Sayyidina Uthman bin Affan RA menjawab, “ALLAH!”
.
Akhirnya kaum Muslimin dapat minum air telaga itu secara percuma kerana kemudian Sayyidina Uthman bin Affan RA telah mewakafkan ‘Bi’ru Rummah’. Sejak dari hari itu telaga ‘Bi’ru Rummah’ dapat dimanfaatkan oleh sesiapa saja, termasuk Yahudi pemilik lamanya.
Dengan takdir Allah sesudah telaga itu diwakafkan untuk kaum Muslimin dan selepas beberapa tahun kemudian, tumbuhlah di sekitar telaga tersebut beberapa pokok kurma dan terus membiak. Kemudian Daulah Khalifah Uthmaniyah (empayer kerajaan Uthmaniyah Turki) memeliharanya hingga semakin berkembang biak dan seterusnya juga turut dipelihara oleh kerajaan Arab Saudi sehingga mencapai jumlah 1550 batang pokok dan berbuah dengan sangat lebat. Mereka telah menjaga ladang kurma dan hasil jualan kurma2 itu serta menyimpannya sehinggalah wujudnya kerajaan Saudi.
Ladang kurma tersebut kemudiannya dipajak kepada Kementerian Pertanian cawangan Madinah sejak 1372 dengan kontrak tahunan diperbaharui pada awal setiap tahun.
Seterusnya kerajaan Arab Saudi, melalui Kementerian Pertanian Saudi menjual hasil ladang kurma ini ke pasaran sehingga banyak wang yang terkumpul. Setengah daripada keuntungan itu diinfaqkan untuk anak-anak yatim dan fakir miskin. Manakala separuh lagi dibuat tabungan dan disimpan dalam bentuk akaun khas milik beliau di salah sebuah bank atas nama Uthman bin Affan, di bawah pengawasan Kementerian Wakaf Arab Saudi.
Begitulah seterusnya, sedekah Sayyidina Uthman bin Affan RA terus bercambah dan membiak membuak-buak tanpa hentinya sehingga dana terkumpul yang di bank itu mampu untuk membeli sebidang tanah dan membangunkan hotel yang cukup besar di salah satu tempat strategik berhampiran Masjid Nabawi.
Bangunan hotel itu sudah pada tahap penyelesaian dan akan disewakan sebagai hotel 5 bintang. Dianggarkan keuntungannya sekitar RM50 juta setahun. Setengahnya untuk anak-anak yatim dan fakir miskin dan setengah lagi tetap disimpan dan ditabung di bank atas nama Sayyidina Uthman bin Affan Radhiyallahu anhu.
Oleh yang demikian itu, maka Nabi ﷺ pernah bersabda,
لِکُلِّ نَبِيٍّ رَفِيْقٌ وَرَفِيْقِيْ يَعْنِيْ فِي الْجَنَّةِ عُثْمَانُ.
 “Tiap-tiap Nabi mempunyai teman dan sahabatku di Jannah (syurga) adalah Uthman.” (Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan Ibn Majah)
 .
Subhanallah,… Selepas 14 kurun sedekah Sayyidina Uthman bin Affan RA melalui wakaf telaga ‘Bi’ru Rummah’ masih berterusan. Jelaslah tidak akan rugi berniaga dengan Allah سبحانه وتعالى, malah akan sentiasa mendatangkan keuntungan berterusan…
Ini adalah salah satu bentuk sedekah jariah, yang pahalanya terus mengalir, walaupun orangnya sudah lama meninggal..
Disebutkan di dalam hadis sahih dari Abi Hurairah RA bahawasanya Nabi ﷺ bersabda:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila manusia meninggal dunia, terputuslah segala amalannya, kecuali dari tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis Riwayat  Muslim, Abu Dawud dan Nasa’i)
 .
Inilah kelebihan sedekah dan menginfakkan harta… Oleh kerana itu, marilah sama sama kita ringankan lidah dan tangan mencerita serta menyebarkan kisah ini sebagai suatu motivasi diri dan pihak lain untuk menginfaq dan bersedekah sedikit daripada harta, pendapatan dan keupayaan yang ada dengan ikhlas kerana Allah سبحانه وتعالى… InsyaAllah antum akan dapat pahala sedekah yang berganda.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah ﷺ bersabda:
إِنَّ مِمَّا يَلْحَقُ الْمُؤْمِنَ مِنْ عَمَلِهِ وَحَسَنَاتِهِ بَعْدَ مَوْتِهِ عِلْمًا عَلَّمَهُ وَنَشَرَهُ وَوَلَدًا صَالِحًا تَرَكَهُ وَمُصْحَفًا وَرَّثَهُ أَوْ مَسْجِدًا بَنَاهُ أَوْ بَيْتًا لاِبْنِ السَّبِيلِ بَنَاهُ أَوْ نَهْرًا أَجْرَاهُ أَوْ صَدَقَةً أَخْرَجَهَا مِنْ مَالِهِ فِي صِحَّتِهِ وَحَيَاتِهِ يَلْحَقُهُ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهِ
“Sesungguhnya di antara amalan dan kebaikan seorang mukmin yang akan menemuinya selepas kematiannya adalah: ilmu yang diajarkan dan disebarkannya, anak soleh yang ditinggalkannya, mushhaf yang diwariskannya, masjid yang dibangunnya, rumah untuk ibnu sabil yang dibangunnya, sungai (air) yang dialirkannya untuk kegunaan awam, atau sedekah yang dikeluarkannya daripada hartanya di waktu sihat dan semasa hidupnya. Semua ini akan menemuinya setelah dia meninggal dunia.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Baihaqi)
.
Semoga Bermanfaat Di Dunia dan Akhirat…
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)


iklan bawah